PANAS!!PEKERJA ASING DI BEBERAPA TEMPAT HARI INI MOGOK TUNTUT KENAIKAN GAJI AKIBAT KEJATUHAN RINGGIT

Jumaat, 5 Februari 2016
PANAS!!PEKERJA ASING DI BEBERAPA TEMPAT HARI INI MOGOK TUNTUT KENAIKAN GAJI AKIBAT KEJATUHAN RINGGIT
Disebabkan kadar pertukaran mata wang yang lemah di negara asal, sesetengah pekerja asing sedang menimbangkan sama ada untuk terus bekerja atau tidak di Malaysia, kata Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan. � Gambar fail The Malaysian Insider, 5 Februari, 2016.Kejatuhan nilai ringgit menyaksikan pekerja asing menuntut kenaikan gaji, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembinaan dan perladangan, sekali gus meletakkan tekanan ke atas majikan yang bergantung kepada buruh asing, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Disebabkan kadar pertukaran mata wang mereka sendiri yang lemah, sesetengah pekerja asing sedang menimbangkan sama ada untuk terus bekerja atau tidak di Malaysia.
Ini memandangkan mereka kini tidak mampu meraih pendapatan seperti sebanyak sebelum ini, kata Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan.
Masa depan yang diramalkan akan terus suram mungkin menyaksikan pekerja asing dihantar pulang, kerana menurut undang-undang buruh Malaysia, warga asing merupakan golongan yang akan diberhentikan kerja terlebih dulu.
"Ini mungkin berlaku jika keadaan terus menjadi buruk kerana di bawah undang-undang buruh, anda memberhentikan pekerja asing terlebih dulu sebelum pekerja tempatan," kata Shamsuddin dalam satu temu bual.
Semua ini memberi kesan kepada majikan dalam tiga sektor itu yang sangat bergantung kepada pekerja asing, ketika mereka cuba memelihara sumber dan menunggu ekonomi pulih.
Malaysia dianggarkan mempunyai 2.1 juta pekerja asing berdaftar.
"Permintaan untuk kenaikan gaji tidak mudah untuk dipenuhi dan dalam situasi seperti ini, kebanyakan majikan tidak akan bersetuju.
"Sebagai contoh, pekerja Bangladesh dulunya mendapat 44 Taka untuk setiap RM1 tetapi sekarang, ia cuma dapat dalam 17 Taka. Penurunan ini sangat drastik, lebih daripada 40%.
"Malah, ringgit yang ditukar kepada rupiah Indonesia turut menyaksikan penurunan nilai sebanyak 20%," katanya.
Ada majikan, bagaimanapun, membantu pekerja asing mereka melalui "bayaran secara sukarela", bagi mengekalkan tenaga kerja mereka.
Bantuan begitu diberi dalam bentuk membayar bil tertentu, seperti caj penginapan dan hospital, kerana buruh asing dikehendaki membayar insurans hospital mereka sendiri, kata Shamsuddin.
"Sebahagian daripada majikan secara sukarela membayar bil-bil itu dan tidak menghantarnya balik kepada pekerja.
"Majikan memberi mereka perumahan percuma walaupun undang-undang membenarkan mereka mengenakan bayaran sehingga RM50 sebulan," katanya, memetik beberapa contoh.
Shamsuddin berkata, tindakan sukarela itu dilakukan syarikat menghampiri suku ketiga 2015, tetapi dengan keadaan ekonomi yang makin rumit, beliau tidak pasti sampai bila majikan mampu berbuat demikian.
Langkah-langkah ini menyebabkan majikan mengalami kenaikan kos di antara 10% dan 15%, katanya, walaupun secara keseluruhannya, ia masih lebih murah daripada mengambil pekerja tempatan.
"Melihat kepada keadaan semasa, majoriti majikan kita tidak berada dalam kedudukan untuk menyerap apa-apa kos tambahan, atau menawarkan kerja lebih masa," katanya.
"Tetapi mereka cuba sebaik mungkin menggalakkan pekerja asing mereka terus bekerja, dengan harapan keadaan akan bertambah baik.
"Jika keadaan bertambah buruk, saya tidak terkejut jika pada ketika itu, pekerja asing akhirnya dihantar pulang."
Beliau juga bimbang mengenai kesan daripada kadar levi yang disusun semula berkuat kuasa 1 Februari, berikutan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Walaupun levi baharu ini akan menambahkan lagi pendapatan kerajaan, ia boleh membuatkan keadaan menjadi kurang mampan bagi majikan, kata Shamsuddin.
Zahid mengumumkan kadar levi baharu RM2,500 bagi setiap pekerja asing dalam sektor perkhidmatan pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan, serta RM1,500 bagi setiap pekerja asing di sektor perladangan dan pertanian.
Bagaimanapun, penstrukturan semula itu tidak melibatkan levi pembantu rumah warga asing apabila kadarnya kekal RM410. � 5 Februari, 2016.